Tuesday, November 14, 2006

Bantah Penubuhan IFC

JOHOR BAHRU 5 Nov. – Cadangan Penubuhan Surahanjaya Agama (IFC) dan pembentukan konsep bangsa Malaysia perlu ditolak kerana ia nyata melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, cadangan penubuhan IFC akan menyamakan kedudukan agama Islam dan semua agama lain serta memberi kuasa kepada IFC menangani sebarang pertikaian berhubung agama.

‘‘Ini bercanggah dengan Perlembagaan dari segi Fasal 3 yang menetapkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan dan menjamin sama agama lain boleh diamalkan dengan aman damai.‘‘Ia juga mempertikaikan kuasa mahkamah syariah yang dipertegaskan dalam fasal 121(A),” tegas beliau.

Abdul Ghani berkata demikian dalam ucaptama beliau pada Konvensyen UMNO Johor di Persada Johor, di sini, hari ini.Menteri Besar Johor itu berkata, cadangan itu juga akan menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di kalangan umat Islam di Malaysia mengenai urusan keluarga Islam yang diputuskan di mahkamah syariah tetapi juga memberi gambaran yang salah kepada rakyat bukan beragama Islam.

Katanya, penubuhan IFC akan memberi kesan negatif seperti kebebasan murtad kepada penganut agama Islam, zuriat umat Islam di Malaysia bebas menentukan agama apabila berusia 18 tahun dan Islam tidak lagi menjadi identiti Melayu.

Selain itu, ia juga bersifat menghasut bahawa undang-undang syariah sebagai tidak adil dan menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama di peringkat persekutuan dan negeri.

‘‘Oleh itu, Kerajaan Persekutuan bukan sekadar mengarahkan supaya dihentikan sebarang perbincangan mengenai artikel 11, malah hendaklah menolak terus cadangan penubuhan IFC,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, konsep bangsa Malaysia yang dicadangkan juga bertolak ke belakang dengan perlembagaan kerana tidak ada satu pun perkataan yang menyebut mengenai bangsa Malaysia di dalam Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Yang ada hanyalah orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum-kaum lain.‘‘Perlukah bangsa-bangsa yang ada di negara ini dileburkan untuk menjadi rojak hanya semata-mata untuk mencapai sebuah impian yang belum jelas konsepnya,” tegas beliau.

Justeru, katanya, tidak perlu merasa malu menyebut mengenai agenda Melayu kerana ia bukan sesuatu yang ketinggalan zaman atau tidak relevan dan ia bukanlah perkara yang perlu disorok-sorok.

‘‘Agenda Melayulah yang menentukan kelangsungan hidup orang Melayu, tidak kira daripada generasi mana sekalipun, untuk mendapat peluang pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan sebagainya.

‘‘Oleh itu, mempertahankan Melayu adalah proses semula jadi dalam negara ini kerana ia berpaksikan kepada perlembagaan,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

No comments: