Wednesday, March 9, 2011

Khutbah isu filem lucah

KUALA LUMPUR – Kaedah pendekatan agama melalui Khutbah Jumaat di masjid dijadikan sebagai alternatif mendidik masyarakat berhubung isu pembelian cakera video digital (DVD) dan video cakera padat (VCD) lucah.

Alternatif itu adalah kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang dilaksanakan pada 1 April depan.

Ketuanya, Noraziah Abdullah berkata, langkah itu untuk membendung penularan pembelian bahan lucah terbabit daripada terus berleluasa.

“Mencegah adalah langkah terbaik menangani masalah ini kerana bukan mudah menyekat premis yang menjual bahan terbabit.

“Kita cuba mendidik masyarakat terhadap kesan menonton bahan itu yang melibatkan agama, keganasan, lucah dan moral,” katanya pada sidang media di KDN Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Bagi merealisasikan tujuan pencegahan itu, KDN turut mengambil pendekatan bekerjasama dengan pihak YMCA, Hindu Sangam dan Buddha serta mengadakan pameran termasuk fokus terhadap pelajar sekolah.:

Dalam masa sama, langkah terbaru diambil, mengedar risalah kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta dan Tol Sungai Besi, semalam.

“Risalah itu mengandungi nombor aduan untuk cawangan seluruh negara bagi memudahkan orang ramai membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat kegiatan penjualan DVD dan VCD terlarang itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noraziah berkata, daripada 294 operasi dijalankan, pihaknya merampas 472,806 filem pelbagai tajuk dan menahan 183 individu sepanjang tahun lalu kerana terlibat kegiatan menjual filem lucah.

Menurutnya, berhubung kaedah mendidik melalui khutbah itu, pihaknya menyediakan teks ucapan yang akan dibacakan kepada orang ramai ketika Khutbah Jumaat seluruh Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

sumber : www.sinarharian.com.my